21 June 2011

Kasih sayang suami isteri

Kalau adalah seorang isteri mengatakan dia tidak mengharap kasih sayang dari suaminya, itu bermakna dia telah berbohong. Sebab, memang tidak ada seorang manusia pun yang tidak ingin dikasihi oleh orang lain kecuali orang gila. Tapi sayang, suami isteri hari ini kebanyakannya renggang hati mereka, tipis kasih sayang mereka dan selalu bermasam muka. Malah perceraian menjadi perkara biasa. Ertinya ramai sekali wanita kita yang sedang menderita. Kenapa isteri gagal menjadikan suami sangat menyintainya hingga tidak mahu berpisah dengannya? Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh semua wanita hari ini. Mudah-mudahan jawapan ini dapat memberi jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan di dalam rumahtangga.

Kasih sayang dan ketenangan hati suami isteri adalah kurniaan Allah swt. Ertinya, ia bukan olahan manusia yang boleh dibuat-buat, direka dan dirancang-rancang. Sebab soal kasih sayang dan ketenangan adalah soal hati, yang bergerak dan hidup tanpa kawalan lahiriah dan kebendaan. Ia dikawal sendiri oleh Allah swt, secara ghaib dan menggunakan syarat-syarat yang Allah sendiri tentukan. Jadi, untuk mencetuskan kasih sayang dan ketenangan rumahtangga, faktor-faktor hubungan dengan Allah adalah wajib diambil kira. Yakni dengan beriman, beramal dengan syariat Islam serta membanyakkan ingatan (zikir) kepada Allah swt.

Suami isteri yang membelakangkan Allah swt adalah pasangan yang sukar untuk memperolehi ketenangan dan kasih sayang. Hati mereka berpecah, kepercayaan antara satu sama lain hilang dan rasa persefahaman kian luput hari demi hari. Walaupun usaha-usaha lahir yang mungkin sudah cukup dilakukan untuk membina kebahagiaan tetapi selagi hati masih kosong dari mengingati Allah, cuai menjalankan perintah-perintah Allah maka selama itu kasih sayang tidak tumbuh dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebab kasih sayang adalah pemberian Allah, dimasukkan ke dalam hati suami isteri yang benar-benar taat dan patuh padanya. Barangkali sukar untuk diakui hakikat ini memandangkan realiti kehidupan rumahtangga yang berbagai-bagai dan tidak terikat pada kenyataan di atas. Orang kafir yang tidak percayakan Allah itu kekal rumahtangganya. Orang Islam yang tidak sembahyang pun ada yang berbahagia nampaknya. Sementelahan rumahtangga ahli agama pun kadang-kadang berkecai. Jadi apa bukti bahawa punca ketenangan dan kasih sayang ialah ketaatan kepada Allah?

Sebenarnya, untuk mengukur benar tidaknya sesuatu kenyataan itu tidaklah boleh hanya menggunakan satu kaedah saja. Sebab Allah swt telah mentakdirkan sesuatu, bukan dengan satu maksud sahaja. Setengah orang kafir beroleh bahagia di dunia kerana Allah mahu merasakan nikmat yang tidak mungkin mereka dapat di akhirat. Orang Islam yang tidak sembahyang dan tidak fikir halal dan haram nampak bahagia juga. Ini adalah kemurkaan Allah sudah tertimpa ke atas mereka dan dengan nikmat itu Allah mahu melalaikan mereka terus menerus hingga mati betul-betul dalam dosa dan terus ke neraka. Manakala ahli agama kadang-kadang pecah rumahtangga mereka, Allah bermaksud menguji dan mahu menghapus dosa-dosa mereka.

Maka ditegaskan sekali lagi, bahawa sumber kasih sayang yang abadi ialah ketaatan kepada Allah oleh suami dan isteri serta anak-anak mereka. Perceraian yang menjadi-jadi dewasa kini adalah berpunca dari tidak taatnya pasangan suami isteri kepada Allah swt. Allah jadikan hati mereka berpecah belah hingga mereka takut pada perceraian tetapi mereka tidak dapat lari darinya. Biarpun rumah besar, harta banyak, kesihatan sempurna dan dunia serba lengkap meliputi mereka, tapi kalau hati berpecah, semua itu tidak boleh mengikat suami isteri itu lagi. Mahu tidak mahu mereka kenalah mengadap Allah swt. Mengaku taat setia padanya dengan tawadhuk. Memohon ketenangan dan kasih sayang untuk hati mereka.

Apabila suami isteri itu membangunkan rumah tangga atas cita-cita Islam maka sudah tentu pergaulan keduanya mengikut ajaran Islam. Bagaimana tanggungjawab suami terhadap isteri, didikannya, makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya dan akhlaknya tentulah sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga layanan isteri terhadap suami, menghiburkannya, menyambut kepulangannya, tidak memberatkan suami dan merendah diri.

Mereka akan sembahyang bersama, bekerjasama dan bertolong bantu. Yang salah meminta maaf manakala yang benar memberi maaf. Kedua-dua keluarga dihormati. Suami di luar tidak memandang isteri orang atau perempuan lain. Isteri di rumah menjaga maruah diri dan mengurus keperluan suami dan anak-anak. Suami berpuas hati dengan isterinya dan isteri berasa puas dengan suaminya. Kalau ada masalah, mereka berunding, memikirkan dan cuba menyelesaikannya bersama.

Suami bertimbang rasa dengan isteri. Isteri pula tidak suka meminta-minta dengan suami. Bahkan berpuas hati dengan apa sahaja yang diberi oleh suami. Salah isteri diberi tunjuk ajar, salah suami dilupakan. Di waktu suami lemah semangat, isterilah yang memberi semangat. Di waktu isteri tidak faham, suamilah yang memberi faham. Suami tidak berkasar dengan isteri. Isteri pula sentiasa menghormati suami. Kalau suami bercakap, isteri mendengar dengan sepenuh hati. Kalau isteri bersedih, dihiburkan oleh suami. Kejahatan masing-masing tidak pernah didedahkan kecuali kerana ingin meminta bantuan kepada orang-orang tertentu untuk membaikinya.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yamanm, iaitu Al Harith bin Amru.
Dalam wasiat itu, Umamah berkata: “Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.
Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu.
Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.
Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.
Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.
Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik.
Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.
Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu.

love,

No comments:

Post a Comment